Sejarah Gemencheh

 Sejarah Gemencheh

Sejarah awal Gemencheh berdasar tulisan Datuk Taha bin Talib di Berita Harian bertarikh 10 November 1958 mengatakan Gemencheh di buka sekitar tahun tahun 1758. Sejarah bermula apabila 3 saudara lelaki Minangkabau datang dari Sumatera melalui Melaka. Seorang pergi ke Machap, seorang pergi ke Johol dan yang bongsu ke menuju Gemencheh. Adik yang bongsu telah berkahwin tetapi namanya dan nama isterinya tidak dapat dikenal pasti. Tetapi adik bongsu ini dikenali sebagai Dato Jelawi. Pasangan suami isteri ini telah bergerak ke Tampin Tengah hinggalah tiba ke Sungei Siput. Kemungkinan Sungei Siput adalah nama asal kepada Gemencheh. Pasangan suami isteri tersebut mengambil keputusan untuk menetap di sana dengan melakukan kerja-kerja pembersihan hutan untuk membina penempatan. Tetapi malangnya setiap kali pokok-pokok hutan ditebang makhluk halus yang menghuni hutan belantara itu akan menegakkan kembali pokok-pokok tersebut. Pada suatu malam angin ribut melanda lokasi tersebut dan suami pasangan tersebut bermimpi datang seorang tua yang mengajar cara-cara bagi mengatasi ganguan makhluk halus. Dengan izin Allah gangguan tersebut dapat diatasi. Pada suatu petang ketika pasangan suami isteri memancing ikan, mereka ternampak kesan-kesan penempatan manusia di hulu sungai. Ditakdir bertemulah pasangan Minangkabau tersebut dengan ketua Orang Bukit yang dikenali sebagai Supai dan isterinya yang bernama Mancheh. Mereka mencapai pemuafakatan untuk berkerjasama membuka kawasan tersebut untuk dibina penempatan. Tetapi Supai menyatakan terdapat dua permasalahan yang perlu diatasi sebelum membina penempatan. Pertama gangguan makhluk halus dan kedua ganguan serangan harimau. Gangguan makhluk telah berjaya diselesaikan oleh suami pasangan tersebut manakala masalah serangan harimau juga berjaya diatasi oleh Supai. Kedua-dua keluarga tersebut kemudian hidup aman dan damai. Hingga tiba ke satu ketika terdapat persoalan yang timbul di kalangan kelaurga tersebut berkenaan dengan kuasa mentadbir. Sewaktu Datuk Saeto menjadi Undang Johol yang ke-7 (1840-1900) inilah bermulanya krisis yang berpunca dari perebutan kawasan perlombongan emas dan bijih timah di Gemencheh. Pada waktu itu Penghulu Kechik adalah penghulu luak Gemencheh. Hasil bumi perlombongan emas di Gemencheh dianggar 20 kati (12 kg) setahun dan hasil bijih sebanyak 300 pikul (18 tan) setahun. Menjelang abad ke-19, emas ketika itu di lombong di hulu Pahang, Terengganu, Johol, Gemencheh (Gominchi), Jelai (dieja Jellye), Rokan? (Reccan) dan ‘Battan Moring’? serta kaki Gunung Ledang berdasarkan rekod oleh Newbold. Perkembangan Revolusi Perusahaan sejak awal abad ke-19 telah menyebabkan permintaan bijih timah oleh industri-industri di Eropah dan Amerika Syarikat meningkat secara mendadak.
Krisis berlarutan ini seterusnya mencetus pertelingkahan bersenjata antara Gemencheh dan Johol. Ini kerana Datuk Saeto ingin lombong emas tersebut masuk di bawah kawalan Johol tetapi penduduk di Gemencheh tidak bersetuju. Penduduk Gemencheh juga tidak bersetuju untuk berada dibawah naungan Johol. Pertelingkahan dan peperangan ini berkisar pada tahun antara tahun 1840an diawal tempoh pemerintahan Datuk Saeto sebelum adanya campur tangan pihak British di Negeri Sembilan yang bermula secara tidak rasmi pada tahun 1874. Walaupun ada catatan sejarah yang mengatakan perang Gemencheh dan Johol tersebut berlaku pada 1830. Tetapi semasa perang Naning-British pada tahun 1831-1832 bantuan untuk pejuang Melayu pimpinan Dol Said juga dihantar dari Johol dan Gemencheh yang bergabung menentang tentera British. Selepas perang Naning tamat terdapat perjanjian sempadan 1833 antara British dan Johol yang memuktamatkan sempadan Melaka dan Johol yang mana British mengiktiraf Gemencheh di bawah kawalan Johol. Perlantikkan Datuk Saeto sebagai Undang Johol adalah pada tahun 1840. Maka tahun peperangan Gemencheh Johol lebih menjurus kepada 1840an selepas tamat perang Naning dan perlantikkan Datuk Saeto sebagai Undang Johol yang baru.
Di dalam peperangan tersebut pasukan perang Johol dipimpin oleh Dato Muda Pilih. Dato' Muda Pilih cukup terkenal dengan kezalimannya. Dato’ Muda Pilih juga seorang pahlawan yang gagah perkasa serta digeruni oleh pihak lawan. Pasukan pertahanan penduduk Gemencheh di pimpin oleh Raja Husain. Beberapa siri pertempuran telah berlaku di Bukit Talang. Hulubalang Gemencheh bermati-matian mengadai nyawa mempertahankan Bukit Talang walaupun jumlah mereka sedikit berbanding dengan pasukan perang Johol. Antara senjata yang diguna pada waktu itu adalah meriam, senapang, lembing, pedang, tombak dan minyak api. Pasukan perang Johol yang mengalami banyak kemalangan nyawa di Bukit Talang telah berjaya menawan kawasan lain di Gemencheh. Kg Sungai Jernih dan Kg Tengah telah berjaya ditawan. Bukit Talang bak seperti sebuah pulau yang masih tidak dapat ditawan walaupun kawasan sekeliling sudah berada di bawah takluk Johol. Disini Kg Pulau mendapat nama. Di manakah terletaknya Bukit Talang pada hari ini? Bukit tersebut telah diratakan bagi membina jalan raya ke arah Kg. Pulau. Sebelum di rata Bukit Talang cukup tinggi hingga basikal terpaksa disorong ketika mendaki.
Apabila telah dapat menawan Gemencheh, Dato Muda Pilih telah melakukan kejahatan terhadap kaum wanita Gemencheh yang tidak berundur ke Air Kuning. Bagi menentang kezaliman Dato' Pilih, Raja Husain mengumpulkan pengikutnya bagi melancar serangan balas dari Asahan menerusi Anak Air Tangis. Di Anak Air Tangis para isteri dan ahli keluarga mengiringi pejuang Gemencheh ini dengan tangisan. Di Asahan mereka mengasah segala senjata mereka seperti keris, lembing dan sebagainya. Sempena dari aktiviti mengasah alat kelengkapan perang nama Kampung Seri Asahan diambil. Batu tersebut pada asalnya terletak di dalam sungai tetapi telah dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan ke atas tebing dengan diletak papan tanda sejarah asal usul batu tersebut.
Pihak British telah campur tangan dan memberi tekanan kepada Dato Saeto untuk memecat Dato’ Muda Pilih. Kemungkinan tekanan ini berlaku selepas tahun 1896, apabila pihak British secara rasmi berkuasa di Negeri Sembilan. Mengikut adat Dato’ Muda Pilih adalah bakal menjawat Undang Luak Johol. Ingatan terhadap kezaliman Dato’ Muda Pilih masih mendalam menyebabkan beliau tidak diterima dengan hati terbuka oleh penduduk Gemencheh. Mengikut catatan sejarah Dato Saeto telah memerintah agar Dato’ Muda Pilih dibunuh setelah usaha untuk memecat mengalami jalan buntu. Dato’ Muda Pilih telah dibunuh ketika beliau bermain dengan cucunya. Pengkebumian jenazah Dato’ Muda Pilih dijalankan mengikut adat istiadat pembesar luak Johol.
Antara perubahan yang dilakukan oleh Dato Saeto adalah menetapkan bakal Undang Luak Johol disandang oleh Dato’ Baginda Tan Mas dan bukan lagi oleh Dato’ Muda. Beliau juga menetapkan pengiliran jawatan Dato’ Baginda Tan Mas diantara Perut Johol dan Perut Gemencheh. Mengikut rekod aktiviti perlombongan emas yang berpusat di Bukit Chimendras Gemencheh telah berakhir pada tahun 1893 walaupun Dato Saeto sebelum itu telah menyuntik modal dan cuba menghidupkan aktiviti perlombongan emas pada tahun 1890. Dato Saeto telah mati dibunuh oleh Samat Gilo seorang yang tidak siuman pada 13 September 1900 pada usia 92 tahun


Datuk Saeto










Comments

Popular posts from this blog